Hujan mengiringi perjalanan kami ke Lemoi pada hari Ahad itu. Namun, perjalanan tetap diteruskan juga kerana sesi persekolahan 2011 akan bermula.
Dalam dingin cuaca Tanah Tinggi ditambah dengan hujan pula kami mula bergerak masuk. Kebanyakan jalan telah rosak teruk. Hancur. Langsung tidak kelihatan seperti jalan - hanya lumpur yang memenuhi lorong. Untuk melaluinya, kadang-kadang kami tengok dulu bahagian mana yang boleh lalu. Tapi, dek kerana sepanjang-panjang jalan hanya lumpur sahaja maka kami kemudiannya tawakkal sahaja. Kalau tersangkut - turunlah sama-sama tolak. Perjalanan yang selalunya memakan masa 1 jam lebih menjadi berganda. Berkali-kali kami terpaksa berhenti untuk melepas penat, namun tidak lama kerana hari semakin gelap, senja bakal tiba. Perjalanan akan lebih sukar jika berlama.
Oleh kerana keadaan jalan yang sebegitu, pembekal makanan tidak dapat menghantar bekalan seperti selalu. Hilux pembekal makanan tidak berjaya melepasi halangan sebermula daripada Bukit Pasir lagi. Oleh kerana itu, kami makan nasi berlaukkan sardin sahaja selama dua hari. Sardin yang dimasak tanpa menggunakan bahan lain kecuali sardin semata-mata. Alhamdulillah, ada juga rezeki kami. Hanya pada petang hari kedua, pembekal makanan menggunakan khidmat orang kampung untuk memunggah bekalan daripada hilux yang terkandas di Bukit Pasir. Beberapa kali juga orang-orang kampung berulang-alik untuk mengangkutnya. Sehingga terpaksa disambung pada keesokan harinya pula.
Berikut, antara gambar-gambar yang sempat dipotretkan semasa kami dalam perjalanan masuk ke sekolah. Cabaran bermula sebelum Bukit Pasir lagi.
Rupa Bukit Pasir hari jumaat itu. Tidak sama lagi seperti ianya sebelum cuti sekolah. Hancur sehancur hancurnya. Kelihatan di dalam gambar - Cikgu Wan sedang survey jalan mana yang harus kami lalui untuk menjimatkan tenaga. Tengok bahagian mana yang agak-agak boleh dilalui tanpa terperangkap dalam lumpur pasir tersebut.
Gambar-gambar kami cuba melepasi Bukit Pasir. Kelihatan dalam gambar - Hilux pembekal makanan yang terkandas.
Setelah berpenat di Bukit Pasir, cabaran demi cabaran harus kami tempuhi. Jikalau Bukit Pasir sudah seteruk itu - bagaimana dengan Bukit Kuning, Bukit Merah dan Bukit Batu pula? Seperti yang kami duga, keadaan jalan semakin teruk. Langsung tiada lorong yang boleh kami lalui. Sudahnya, kami redah sahaja. Kalau nasib baik selamat, kalau nasib tidak baik kenalah kami menolak atau mengangkat motor.
Selepas melepasi Bukit Pasir, Bukit Kuning dan Bukit Merah - kami perlu menempuh pula Bukit Batu. Bukit Batu seperti namanya, memang dipenuhi dengan batu. Daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya.
Jambatan yang telah runtuh. Kini bentuknya seakan-akan huruf V sahaja. Kenderaan selain daripada motor memang tidak boleh melalui jambatan ini. Satu-satunya pilihan yang ada hanyalah dengan meredah sungai.
Perjalanan keluar daripada Lemoi adalah lebih sukar daripada perjalanan masuk seperti yang kami jangkakan. Hal ini kerana jika masuk kebanyakan waktunya kami menuruni bukit dan apabila keluar pula adalah sebaliknya. Pendakian secara berterusan yang sememangnya amat memenatkan. Mengerah sehabis-habis tenaga yang ada.
Pagi jumaat itu, hujan turun seawal pagi. Renyai-renyai. Sejuk dan dinginnya terasa. Dalam hujan itu, kami bergerak keluar. Perjalanan mula tersangkut-sangkut bermula sebelum Kampung Telimau lagi. Kebanyakan jalan memang telah dipenuhi dengan lumpur.
Di Bukit Merah, lumpur yang lembik menenggelamkan kaki kami menyebabkan kami mengalami kesukaran untuk berpijak. Sepanjang perjalanan boleh dikatakan kaki sentiasa memijak tanah untuk menyeimbangkan badan dan motor.
Selepas melepasi Bukit Merah, kami bertarung dengan lumpur di Bukit Kuning pula. Lumpur tanah liat yang berwarna kuning itu memang agak sukar untuk ditawan. Di sini, boleh dikatakan hampir semua motor tersangkut. Daripada motor EX5 sehinggalah motor scrembler guru-guru lelaki. Motor terpaksa dibawa naik satu demi satu. Mana yang lepas akan turun kembali untuk membantu mengangkat motor yang lain pula. Sebiji motor memerlukan 2 - 3 orang untuk menolaknya. Namun, motor Cikgu Yati tumpas di sini. Enjinnya tiba-tiba mati dan tidak mahu hidup-hidup lagi sedangkan masih tinggal separuh lagi perjalanan untuk mendaki Bukit Kuning. Guru-guru lelaki terpaksa mengangkat motor dengan penuh susah payah hendak seimbangkan badan sambil menolak motor. Susah payah juga hendak tarik kaki keluar dari selut. Sampai terduduk kepenatan jugalah dibuatnya.
Gambar : Khidmat orang kampung digunakan untuk membawa masuk barang-barang daripada Hilux pembekal makanan yang tersangkut di Bukit Pasir.
0 Nota:
Post a Comment